Ahad, 31 Ogos 2008


Usrah itu tak wajib @ wajib?

Artikel Pilihan Oleh muhakim

"Abang Hakim, usrah tu wajib ke? “ satu soalan keluar dari peserta muslimat Simposium Nuqaba’ anjuran Rakan Masjid. Kelihatan muka peserta yang lain menanti dengan penuh tanda tanya.

“ Usrah itu wajib dan tak wajib”. Jawab ana dengan tenang dan yakin. “Aik, macam mana pula tu?” Soal pula peserta muslimat yang lain. Ana sudah duga persoalan itu akan keluar. Mulut mengukir senyum. Bagus, stratergi untuk memancing minat mereka bertanya dah mengena.

Begini, usrah itu wajib kepada orang yang menjadi ahli da’wah dan tidak wajib kepada yang bukan ahli da’wah.” Permulaan jawapan yang sengaja dibiarkan berselirat. Ya. Umpan mengena lagi, kali ini dari adik muslimin. “Erm.. macam mana tu abang hakim, bukan ke setiap orang yang mengatakan lailaha illa allah itu seorang daie”. Jelas kelihatan dan keserabutan di muka setiap peserta.

Slot tengahari memang sukar untuk dipenuhi. Mata mudah mengantuk. Badan cepat letih. Sebab itu ana mengambil pendekatan provokasi dalam menyempurnakan slot ketika cinta bertasbih tengahari ini. Slot yang menjemput naqib yang pernah mengendalikan smart group dengan jayanya satu ketika dahulu. Entah kenapa, komiti gatal menjemput ana dan ana pula terlepas cakap memberi persetujuan. Sedangkan, ana bukanlah yang terbaik. Namun, kerana Allah demi Islam, ana galas juga amanah ini.

Ana menjawab, “Sebenarnya, kewajiban menyertai usrah ini jatuh kepada ahli da’wah iaitu orang yang telah berintima’ @ menyertai jemaah islam secara langsung. Sebagai analogi, hanya orang yang mendaftar di university sahaja yang wajib masuk ke lecture. Masyarakat yang tidak mendaftar di universiti tidak wajib untuk masuk ke lecture walaupun umur mereka sebaya.”

Justeru, dengan persetujuan menyertai jemaah islam bererti kita telah bersetuju menurut segala perancangan yang disusun oleh jemaah. Perkara pokok sebuah jemaah ialah tarbiyyahnya dan tunjang tarbiyyah ialah usrah.

Menyertai usrah adalah wajib kepada ahli jemaah kerana disitu tempat percambahan fikrah jemaah berlaku. “Abang Hakim, maknanya usrah tue tempat kita menuntut ilmu ye?” seorang peserta mengajukan soalan. Ana tersenyum. Bagus, mereka semua bersemangat dan tidak tidur.

“Usrah bukanlah tempat menuntut ilmu!” Beberapa orang peserta kelihatan tercengang dan terkebil-kebil mata. Ana menyambung lagi, “Usrah juga bukanlah tempat untuk berukhuwwah” Kelihatan kerut di beberapa muka peserta. Sengaja ana biarkan mereka terus berfikir.

Sebenarnya usrah adalah tempat untuk kita berbincang, bukan untuk menadah kitab. Usrah bukanlah tempat untuk berukhuwwah, tapi tempat untuk membina ukhuwwah. Outcome dari usrah barulah kita katakan mendapat ilmu dan ukhuwwah.

Sebagai analogi, di kilang kereta, orang tak naik kereta. Di situ tempat buat kereta. Dari besi yang besar, keras serta tidak berwarna, ia diketuk, dipanaskan , di pandu uji , dibentuk acuan dan kemudian dicat. Besi itu dipasangkan pula dengan stering, tayar , cermin dan pelbagai lagi. Setelah proses ‘tarbiyah’ itu berlaku, barulah sebuah kereta yang canggih dan lawa di pasarkan. Berebut-rebutlah kita memuji kemantapan kereta itu. Itu jika proses pembuatannya teliti, kalau cincai…. Bersiap sedialah dengan komen dan kutukan pengguna.

Begitulah dengan usrah, segala proses pembentukan itu berlaku dalam usrah. Dari seorang yang tidak dikenali kepada orang yang terkenal. Hasilnya hanya dapat dilihat di luar usrah. Sebab itu dahulu pernah dipopularkan satu istilah, “Usrah yang sebenar bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al fatihah.”

Muka peserta sudah mula cerah. Awan redup keliru mula berarak pergi. Kini perlu menghuraikan jawapan tidak wajib usrah pula. Peserta semakin tekun dan fokus. Perasaan ingin tahu mereka dicabar. Bagaimana satu soalan boleh ada dua jawapan yang bertentangan?

Tidak wajib menyertai usrah kerana dia bukan ahli da’wah. Menurut al Fadhil Ustaz Fathi Yakan, mad’u boleh diklasifikasikan kepada 2 golongan. Golongan istifadiah dan golongan jamhariah.

Golongan istifadiah ialah golongan ekslusif. Mereka sudah ada kesedaran islam. Bahkan mereka sudah mula dan mahu menyebarkan islam. Bagi golongan ini, mereka wajib berusrah kerana mereka merupakan golongan yang sudah berintima dengan jemaah. Mereka inilah yang kita gelarkan sebagai ahli da’wah.

Golongan jamhariah ialah golongan orang awam. Mereka baru nak berjinak-jinak dengan Islam. Kalau di UTP, mereka ialah adik-adik smart group. Mereka belum lagi menjadi ahli da’wah. Pendekatan kena berbeza dengan orang yang berlatar belakang pendidikan Islam. Kena banyakkan program sampingan seperti ziarah, riadah, makan bersama, rehlah dan apa sahaja yang boleh menarik minat.

Rumusan sudah dibuat. Peserta mengangguk-angguk tanda faham. Selepas habis slot tengahari itu, ana pasang satu video klip gambar usrah yang ana kendalikan. Ada yang kehairanan. Tiada pun ‘sut usrah’ yang kami pakai ketika usrah?

Ya, memang tiada set jubah dan serban dalam usrah kami. Wahai adikku sayang, tiada siapa kata usrah hanya boleh dijalankan di masjid semata bukan? Ingatlah , usrah bukanlah tempat untuk menuntut ilmu, tapi tempat untuk membina kefahaman. Selamat berusrah adik-adikku. (^^)/"

sumber dari : www.tranungkite.net

CEBISAN SEJARAH TANAH AIR

Pengaruh Perjuangan Nasionalisme Mesir ke atas Perjuangan Pra Kemerdekaan Tanah Melayu.

Sempena Bulan Ogos ini, Malaysia akan menyambut bulan kemerdekaan dan pada tahun ini Malysia akan menyambut bulan kemerdekaan yang kali-ke51, maka eloklah diceritakan sedikit sinopsis hakiki tentang perjuangan-perjuangan orang yang dahulu samaada pejuang-pejunangnya disebutkan dalam lipatan sejarah mahupun tidak.Walaupun ada segelintir nama yang tidak disebutkan ini telah memberikan satu sumbangan yang besar dalam menuntut kemerdekaan di tanah air kita Tanah melayu.
Perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah sebelum perang dunia kedua berlaku di setiap negara terjajah di seluruh dunia. Mesir yang berada di bawah pengaruh penjajahan Inggeris turut menerima gelombang yang sama bahkan telah mencetus satu arus perjuangan yang besar dan mendapat perhatian daripada gerakan-gerakan tuntutan kemerdekaan di seluruh dunia. Gelombang besar itu telah sampai ke Tanah Melayu dan ia dibawa oleh beberapa orang tokoh besar seperti Dr.Burhanuddin al-Helmi dan Ustaz Abu Bakar al-Bakir. Mereka berdua adalah antara tokoh Melayu yang membawa pengaruh perjuangan kemerdekaan dari Timur Tengah khususnya dari Mesir, mereka bergerak secara aktif di atas nama Islam dan perjuangan jihad menentang penjajahan Eropah. Kajian ini akan menyorot kembali gagasan dan sumbangan perjuangan tokoh-tokoh Mesir yang telah mempengaruhi pemikiran tokoh-tokoh Melayu serta perjuangan mereka untuk membebaskan tanahair daripada penjajahan Barat.

Pendahuluan

Golongan agama didapati terlibat secara aktif dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu sebelum perang dunia kedua. Mereka ini mendapat pengaruh daripada perjuangan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam di Mesir secara khususnya. Semangat perjuangan ini ditiup melalui pendidikan madrasah dan penerbitan majalah-majalah. Pada awal kemunculan mereka di Tanah Melayu, kumpulan ini yang mendapat jolokan sebagai Kaum Muda telah menerima tentangan yang hebat daripada orang-orang Melayu sendiri terutama ulama tradisional atau dikenali dengan Kaum Tua, namun akhirnya perjuangan ini telah menggerakkan satu gelombang perjuangan yang besar serta telah mempengaruhi perjuangan kemerdekaan negara daripada penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Kajian ini akan memfokuskan kepada hubungan perjuangan yang dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh dengan tokoh-tokoh penggerak di Malaya seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Abu Bakar al-Bakir serta membentangkan usaha mereka kearah sebuah negara Malaya yang merdeka di Tanah Melayu.

Perjuangan Menentang Penjajah di Mesir.

Gerakan menentang penjajahan di Mesir telah dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani. Beliau adalah seorang Afghanistan yang berketurunan Rasulullah melalui Hussain bin Ali bin Abi Talib ,

Beliau yang telah berpengalaman berdepan dengan Inggeris di Afghanistan dan India di antara tahun 1864-1869, telah meniup semangat perjuangan untuk membebaskan negara daripada cengkaman barat. Jamaluddin yang dibuang daripada India telah merantau ke Mesir pada tahun 1870 dan menetap di Kaherah. Beliau telah diterima baik oleh pemimpin Mesir iaitu al-Khidiwi dan Riyad Basha. Al-Afghani telah diberi ruang untuk bergerak untuk kerja-kerja dakwah dan islah. Dari sinilah Al-Afghani telah menjalin hubungan yang rapat dengan tokoh-tokoh Mesir termasuk yang paling masyhur ialah Muhammad Abduh .

Inggeris yang menjadi penasihat kepada pemerintahan Turki Uthmaniyyah di Mesir telah memaksa Khidiwi Ismail meletak jawatan dan memberikan kepada Tawfiq Basha. Menyedari pengaruh Inggeris yang mula menular masuk dalam pemerintahan Mesir, al-Afghani telah menggerakkan pengikutnya dengan menubuh Parti Kebangsaaan (Hizb al-Watani), walau bagaimanapun gerakan Al-Afghani akhirnya telah dilihat oleh pemerintah Mesir yang berkecenderungan Inggeris sebagai mengancam keselamatan negara. Tuduhan yang dilemparkan kepadanya ialah mengetuai pertubuhan sulit untuk merosakkan agama dan dan dunia. Pada tahun 1879, al-Afghani telah dihalau keluar dari Mesir dan menuju ke India namun di sana beliau telah ditahan dan dibebaskan kembali apabila Inggeris menduduki bumi Mesir dan mengusai pemerintahannya .

Al-khidiwi Tawfiq telah merestui kehadiran Inggeris secara rasmi untuk menduduki Mesir sebagai membendung pengaruh yang dibawa oleh pengikut-pengikut al-Afghani yang dipimpin oleh Muhammad Abduh. Pada tahun 1880 Muhammad Abduh yang telah dipecat daripada jawatan sebagai pensyarah di Dar al-ulum akibat daripada peristiwa di atas telah dipanggil oleh Riyad Basha untuk bertugas dengan al-Akhbar al-Waqi’ al-Misriyyah . Beliau telah mengambil kesempatan ini untuk menyebarkan pemikiran perjuangan pembebasan khususnya daripada pengaruh Barat dan akhirnya telah membawa kepada pengharaman akhbar dan pemberontak al-Urabi pada tahun 1982. Ramai dikalangan pemimpin dan penulis telah ditangkap dan buang daerah. Termasuk Muhammad Abduh, beliau telah dipenjara selama 3 bulan dan dibuang ke Beirut.

Dari Beirut Muhammad Abduh telah berhijrah ke Paris dan bertemu dengan gurunya di sana, Mereka bersama menerbitkan majalah al-Urwat al-Wusqa pada tahun 1884, gerakan ini berjalan secara rahsia tetapi meluas bukan sahaja di Mesir bahkan di seluruh dunia. Majalah al-Urwat al-Wusqa telah berusaha menanam sifat perjuangan dan pembebasan daripada penjajahan Barat, tempias perjuangan inilah yang telah meresap masuk ke dalam jiwa anak-anak muda Melayu di Mesir atau di tanah Melayu.

Pengaruh Ke atas Pejuang-Pejuang Kemerdekaan Melayu.

Kajian ini hanya akan menumpukan kepada perjuang kemerdekaan yang membawa pengaruh perjuangan nasionalis Mesir. Gerakan ini telah dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Mereka telah mendapat ransangan dan tiupan roh perjuangan ini daripada tokoh nasionalis Mesir seperti al-Afghani, Abduh dan Rashid Rida. Walaupun Dr. Burhanuddin dan Abu Bakar al-Bakir tidak menerima pengaruh ini secara langsung daripada al- Afghani, Abduh dan Rashid Ridha, ia meresap ke dalam pemikiran mereka melalui tiga faktor iaitu madrasah yang menempatkan guru-guru yang berkelulusan Timur Tengah, terbitan majalah seperti al-Imam, al-Ikhwan, Pengasuh dan lain-lain serta penglibatan mereka dengan aktiviti luar negara seperti penyertaannya dalam demonstrasi di Palestin.

Pertama: Peranan Madrasah.

Pengaruh perjuangan menentang penjajahan ini meresap masuk melalui pendidikan yang diterima oleh kedua-dua tokoh semasa menuntut di madrasah-madrasah yang dipelopori oleh tokoh-tokoh pembaharuan seperti Syeikh Tahir Jalaluddin (1869-1956) dan Syed Syeikh Al-Hadi (1862-1934) yang yang membawa idealisme perjuangan dari Mesir contohnya Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang, Madrasah Iddrisyyah di Kuala Kangsar, Madrasah al-Rahmaniyyah di Gunong Semanggol dan Madrasah Dairat al-Ma’arif di Seberang Prai.

Dr. Burhanuddin al-Helmi yang menuntut di sekolah ini telah mendapat didikan secara langsung daripada tokoh-tokoh di atas dan guru-guru lain di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah seperti Syeikh Abu Bakar al-Shafie, Haji Arshad Sibawaih (seorang guru nahu yang progresif) dan Ashiran Ya’kub ( seorang tokoh kaum muda yang turut meniup semangat perjuangan menentang penjajah ). Mereka ini adalah pembawa pemikiran perjuangan tokoh-tokoh Mesir di atas. Manakala Ustaz Abu Bakar al-Bakir pula mendapat pendidikan di Madrasah al-Rahmaniyah Gunong Semanggol dan tamat pada tahun 1024. Beliau yang dilahirkan di sini pada tahun 1907 dan telah meneruskan pengajian di Madrasah Daira al-Ma’arif Kepala Batas Seberang Prai pada tahun 1924 dan berpindah ke Madrasah al-Iddrisiyyah,Kuala Kangsar pada tahun 1929. Dengan bakat kepimpinan yang ada beliau sering dijemput untuk menjadi pengerusi majlis-majlis syarahan dan juga dilantik menjadi ketua pelajar di madrasah pengajiannya. Pada tahun 1934 dengan bantuan Ustaz Abdullah Pak Ahim beliau telah menubuh Al-Ihya’ al-Syarif di Gunong semanggol sebagai pusat pengajian ilmu dan penyebaran idealogi perjuangan .

Kedua: Media Massa

Selain itu media massa juga memainkan peranan yang penting dalam mempopularkan perjuangan Muhammad Abduh dan Jamaluddin al-Afghani di Tanah Melayu.Majalah al-Imam contohnya, telah menyebarkan kesedaran di kalangan anak-anak muda Melayu. Penerbitannya di Singapore yang bermula pada tahun 1906, telah menyalurkan pemikiran perjuangan dan meniup semangat penentangan terhadap penjajahan Barat, contohnya makalah tulisan Syed Syeikh al-Hadi yang bertajuk Menuntut Ketinggian Anak-Anak Melayu pada keluaran Julai 1907 yang menyentuh tentang kemunduran orang-orang Melayu berpunca daripada hilang keyakinan diri dan terlalu merasa rendah diri, mudah menyerah kalah kepada bangsa-bangsa asing, bertengkar sesama sendiri, malas bekerja, pentingkan diri sendiri dan tidak mampu untuk bersatu demi kebaikan. Syed al-Hadi mengemukakan orang Cina sebagai contoh dalam tulisan ini, katanya, orang-orang Cina yang berhijrah ke mari telah menjadi kaya-raya, terpelajar dan mempunyai kehidupan sosial yang baik, sepatutnya orang Islam mengambil teladan daripada mereka .
Majalah al-Imam yang yang dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Muhammad Bin Salim al-Kalili dan Haji Abbad Muhammad Toha juga banyak memuatkan tulisan-tulisan Muhammad Abduh dan Rashid Rida, seperti kupasan tafsir yang pernah tersiar dalam majalah al-Manar dan beberapa hukum-hukum feqah yang dibahaskan oleh Muhammad Abduh dan dan para ulama lain .

Selain itu majalah al-Ikhwan (1926) turut memainkan peranan yang utama dalam menanam kesedaran Islam dan semangat perjuangan. Dalam keluaran pertama sebagai contoh, penulisnya Syed Syeikh al-Hadi dengan kerjasama Syeikh Tahir Jalaluddin menyeru umat Islam ke arah kemajuan dan mengajak umat Islam memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan. Mesej yang tersembunyi daripada tulisan tersebut adalah umat Islam Melayu mesti keluar daripada kemiskinan dan belenggu penjajahan. Pada tahun 1934 muncul pula Majalah al-Hikmah yang dikendalikan oleh para pelajar Universiti Al-Azhar. Majalah al-Hikmah kelihatan lebih lantang menyuarakan persoalan politik secara langsung, Majalah ini yang dikeluarkan di Mesir adalah lebih bebas untuk bersuara tentang nasib orang-orang Melayu. Hasil daripada kemunculan majalah-majalah seperti di atas telah menimbulkan kesedaran dan telah menanam perasaan benci di kalangan orang Melayu terhadap penjajahan Barat. Majalah ini juga telah menjadi sumber aspirasi kepada pejuang-pejuang kemerdekaan di Tanah Melayu, khususnya mereka yang berjiwa Islam.

Ketiga: Pengaruh Luar

Hasil pergaulan dan pengaruh pemikiran guru-gurunya itu, mereka telah menyambung idea pembaharuan dan menyuntik semangat kebebasan dan kemerdekaan kepada pengikut dan orang Melayu pada masa itu. Dr. Burhanuddin juga mendapat tempias semangat perjuangan kemerdekaan daripada tokoh-tokoh seperti Muhammad Ali Jinnah, khususnya ketika menuntut di Perubatan Homeophaty Islamaeliah Medical Collage Secudrabab pada tahun 1939. Dr. Burhanuddin juga melawat Palestin ketika dalam pengajiannya di India pada tahun 1938, ketika kemuncak penentangan penyerahan bumi Palestin ke tangan Yahudi dan di sinilah beliau menimba idea Abduh dan Jamaluddin al-Afghani secara lebih dekat. Tidak terdapat catatan yang menjelaskan tentang hubungan Dr. Burhanuddin al-Helmi dengan tokoh-tokoh pejuang di Palestin , namun begitu pemergiannya ke Palestin untuk menyertai tunjuk perasaan kaum Muslim menunjukkan keperihatinan beliau terhadap perjuangan menentang penjajahan dan sudah pastinya beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pejuang-pejuang kemerdekaan Palestin. Perlu disebutkan juga bahawa Muhammad Abduh pernah tinggal di Beirut pada sekitar tahun 1882-1889 kerana dibuang daerah. Beirut adalah tidak berjauhan dengan bumi Palestine, sudah pastilah pengaruh Abduh sangat kuat di bumi ini, oleh itu pemergian Dr. Burhanuddin al-Helmi ke sini memberi justifikasi yang kukuh bahawa beliau turut menerima angin perjuangan dari tokoh-tokoh seperti Muhammad Abduh dah Jamaluddin al-Afghani.

Peranan Dr.Burhanuddin dan Abu Bakar al-Bakir dalam Politik tanahair

Sekembali beliau ke Tanah Air pada tahun 1939, Dr. Burhanuddin al-Hilmi bergiat aktif dalam pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan akhirnya dilantik menjadi persiden pada ketika itu. Beliau telah mengambil Islam sebagai dasar perjuangannya dengan pengaruh beberapa individu di kalangan pelajar dari al-Ihya’ al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak. Masalah ekonomi dan pendidikan di kalangan orang-orang Melayu yang semakin meruncing pada ketika itu, telah menjadi alasan penting kepada al-Ihya’ dan KMM untuk menyedarkan umat Melayu agar mereka menjadikan Islam sebagai teras dalam usaha menganalisis kembali perjalanan ekonomi ke arah yang lebih baik.

Bagi mencapai dan memenuhi hasrat di atas, dan juga matlamat untuk mencapai kemerdekaan sepenuhnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan sebaik sahaja Perang Dunia Kedua tamat. Ia ditubuhkan pada 17hb. Oktober 1945, di Ipoh, Perak, di bawah pimpinan Mukhtarudin Luso , Burhanuddin al-Hilmi dan Ishak Hj. Muhammad. Pertubuhan ini adalah lanjutan daripada perjuangan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Ia adalah pertubuhan yang terbesar selepas Perang Dunia Kedua, disertai oleh pelbagai peringkat masyarakat bukan sahaja di kalangan kaum belia lelaki tetapi juga wanita yang datang dari kalangan kaum tani, buruh dan juga tentera. Kongres pertama diadakan pada 30hb. November hingga 3hb. Disember 1945, di Ipoh. Kongres ini telah menetapkan beberapa dasar utama, iaitu; pertama: Menuntut supaya Malaya berkerajaan sendiri berdasarkan demokrasi, bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa rasmi dan mengadakan satu rupa bangsa (kerakyatan yang tunggal) di Tanah Melayu. Kedua: Menuntut kemerdekaan penuh yang berdasarkan demokrasi. Ketiga: Malaya pada akhirnya hendaklah bergabung dengan Indonesia.

Sebagai titik tolak kepada perjuangan ini, PKMM telah membentuk lima buah dasar utama sebagai asas perjuangan mereka. Dasar-dasar tersebut ialah: Ketuhanan yang Maha Esa, kebangsaan, kedaulatan rakyat, persaudaraan sejagat dan keadilan masyarakat.

Melihat kepada asas-asas yang dibentuk itu, `aqidah Islamiyyah telah dijadikan sebagai dasar perjuangan. Melalui asas yang teguh ini, pelbagai strategi telah diatur bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan. Permasalahan ekonomi dan politik menjadi fokus utama. Antara tindakan yang telah dibuat ialah, menubuhkan Majlis Agama Islam Tertinggi dan melancarkan Kongres Ekonomi di Gunung Semanggol. Tindakan ini merupakan usaha awal yang dilakukan oleh PKMM untuk memperjuangkan Islam melalui wadah politik dan ekonomi.

Penglibatan pelbagai pertubuhan seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se Malaysia (BATAS) ke dalam PKMM telah menjadikan pertubuhan ini semakin besar dan sekaligus menyebabkan penggabungan al-Ihya’ al-Sharif dengan PKMM. Dalam pada itu pula, rombakan jawatankuasa telah berlaku yang membabitkan pertukaran presiden dari Dr. Burhanuddin kepada Ishak Haji Muhammad. Sementara Dr. Burhanuddin di lantik sebagai penasihat Agung kepada PKMM.

Beliau juga bergabung tenaga dengan Ustaz Abu Bakar al-Bakir di Ma`had Ihya` al-Sharif dan menganjurkan Persidangan Ekonomi-Agama Se-Malaya, pada 22-24hb. Mac 1947. Hasilnya, tertubuhlah Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi Se Malaya (MATA). Pertukaran ini telah menimbulkan sedikit sebanyak keraguan di pihak al-Ihya’. Mereka tidak yakin kepimpinan baru PKMM boleh memperjuangkan cita-cita mereka. Dalam pada itu pula, Dr. Burhanuddin sendiri secara sedar atau tidak telah mengisyaratkan harapan akan lahir satu bentuk parti yang berlandaskan Islam.

Ekoran daripada itu, pada 14hb. Mac 1948, satu persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) telah diadakan. Agenda utama dalam persidangan ini ialah penubuhan sebuah parti politik Islam. Para hadirin dibangkitkan oleh pidato-pidato yang bersemangat dari beberapa orang tokoh seperti Abrab Tamimi, Sayid Abu Bakar al-Attas, Dr. Burhanuddin dan Tengku Osman di mana kandungan ucapan mereka berkisar kepada kehendak perjuangan Islam yang berpandu kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, menyebabkan idea penubuhan Hizb al-Muslimin mudah diterima oleh para perwakilan yang hadir.

Sehubungan dengan itu, tertubuhlah Hizb al-Muslimin dengan cogankata: “Islam boleh berperanan dan menjadi ejen perubah masyarakat”. Ma`had Ihya' al-Sharif, telah dipilih sebagai markas pergerakan. Tujuan asasi parti ini ialah berusaha mencapai kemerdekaan bangsa Melayu, membentuk masyarakat berdasarkan kehendak syariat Islam, menjadikan Tanah Melayu sebagai Dar al-Islam, mengawal golongan kiri Melayu supaya tidak lari dari agama, bangsa dan tanahair, menginsafi umat Islam Melayu dalam berpolitik dan mengikat orang-orang Islam dalam satu wadah perjuangan.

Bagi menggerakkan pertubuhan ini, sebuah jawatankuasa telah dibentuk, terdiri daripada Ustaz Abu Bakar al-Bakir sebagai Ketua Umum, Haji Arifin bin Haji Alias sebagai Ketua Satu dan Daud Jamil sebagai Ketua Dua. Bagaimanapun hayat Hizb al-Muslimin tidak lama, apabila Inggeris bertindak mengharamkan pertubuhan tersebut bersama dengan pertubuhan-pertubuhan lain di seluruh Semenanjung (termasuk Singapura) kecuali UMNO.

Kegiatan Hizb al-Muslimin mula terhenti apabila berlakunya penangkapan ke atas tiga orang pemimpin utamanya, Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ustaz Abrab Tamimi dan Abdul Rauf bin Nur. Ustaz Abu Bakar al-Bakir menjawat jawatan sebagai Ketua Umum Hizb al-Muslimin, Yang Dipertua Persatuan al-Ihya’, Mudir al-Ihya’, Ketua Lembaga Pendidikan Rakyat Malaya (LEPIR) dan juga guru al-Ihya’. Ustaz Abrab Tamimi pula menjawat jawatan sebagai Ketua Propaganda Hizb al-Muslimin, Setiausaha Jawatankuasa Perancang Universiti Rakyat dan Pelajaran, Nazir sekolah-sekolah dalam Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat Malaya dan juga sebagai guru al-Ihya’. Manakala Ustaz Abdul Rauf Nur pula, seorang lulusan dari al-Ihya’ dan ditugaskan memegang jawatan sebagai Ketua Propaganda Hizb al-Muslimin, Bahagian Semanggol dan Selinsing, merangkap khatib di Masjid Gunung Semanggol dan guru al-Ihya’. Penangkapan ketiga-tiga tokoh ini, bererti berakhirlah kegiatan Hizb al-Muslimin.

Pengharaman ini ada hubungkaitnya dengan ucapan Dato’ Onn yang melabelkan Hizb al-Muslimin sebagai berdamping rapat dengan komunis. Sikap Dato’ Onn ini telah digambarkan dalam ucapannya:

Saya tidak melarang tetapi saya tidak sudi membenarkan (orang UMNO ke sidang Gunung Semanggol)…. Bahaya dari gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi (Hizb al-Muslimin) yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya (pergerakan Hizb al-Muslimin) supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah.


Berikutan tindakan Inggeris mengharamkan semua badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan politik yang ada di Semenanjung Tanah Melayu (termasuk Singapura), telah mendorong UMNO mengambil inisiatif menubuhkan sebuah badan kebajikan yang diberi nama Pertubuhan Ulama Malaysia. Pertubuhan ini bernaung di bawah UMNO

Setelah berada beberapa ketika bersama UMNO di bawah Biro Agamanya, timbul perasaan curiga dan tidak puas hati di kalangan ulama, kerana segala permasalahan agama tidak dirujuk kepada mereka contohnya, isu loteri yang dicadangkan oleh Kesatuan Melayu Kedah dan telah disokong oleh Perikatan Melayu Perak, cawangan Selama bagi tujuan menambahkan sumber kewangan UMNO. Cadangan ini telah mendapat bantahan keras dari kalangan tokoh-tokoh agama dalam UMNO, namun begitu sistem tersebut telah diterima pakai dan berjalan seperti biasa. Akhirnya pada 1951 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan di mana ia adalah serpihan sayap ulama dalam UMNO.

Meneliti kepada tujuan dan matlamat penubuhan Hizb al-Muslimin pada tahun 1948 itu jelas menunjukkan ia dipengaruhi oleh pemikiran Timur Tengah, melalui majalah al-`Urwah al-Wuthqa yang banyak menyentuh tentang isu-isu penjajahan. Hujah ini diperkuatkan lagi dengan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa guru-guru yang mengajar di al-Ihya’ al- Sharif kebanyakkannya datang dari Timur Tengah (Hijaz dan Mesir). Kebangkitan ulama 1940an ini jelas menyahut inspirasi majalah al-`Urwah al-Wuthqa yang berusaha menyedarkan masyarakat di seluruh Dunia Islam akan bahaya kolonialisme.

Kesimpulan

Perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu yang dipimpin oleh golongan berpendidikan Islam iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ustaz Abu Bakar al-Bakir banyak dipengaruhi oleh perjuangan di Timur Tengah di bawah pimpinan Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh. Sungguhpun mereka tidak bertemu secara langsung , pengaruh tersebut mengalir melalui sistem pembelajaran di madrasah-madrasah, khususnya Madrsah al-Masyhur al-Islamiyyah yang ditubuhkan oleh Syed Syeikh al-Hadi dan dibantu oleh Syeikh Tahir Jalaluddin. Selain itu juga pengaruh perjuangan al-Afghani dan Abduh tersebar melalui tulisan-tulisan yang dimuat dalam majalah-majalah tulisan jawi seperti Al-Imam, Al-Ikhwan dan Al-Hikmah. Hasil gabungan sistem pembelajaran dan sebaran maklumat daripada majalah-majalah serta semangat perjuangan nasionalisme yang bertiup kencang di seluruh negara terjajah seperti India, Indonesia dan lain-lain telah menghidupkan perjuangan mereka bagi menuntut kemerdekaan daripada Inggeris di Tanah Melayu. Walaupun kemerdekaan negara tidak berhasil di tangan mereka namun sumbangan mereka ke arah kemerdekaan patut diberi pujian dan sokongan.

" Selamat Hari kemerdekaan untuk Malaysia Kali ke-51 untuk semua rakyat Malysia"

"Sedekahkan Al-Fatihah buat semua pejuang-pejuang yang selama ini berjuang untuk kemerdekaan tanah air kita yang tercinta..Tanpa mereka dahulu, tiadalah nikmat kemerdekaan yang kita kecapi dan hidup bahagia aman dan makmur seperti hari ini...Ingatlah Mencintai negara adalah sebahagian daripada Iman-Hadis Nabi"
Wallhua'lam..

Rujukan:

Al-Saidi, Abdul muta’al, t.th. Al-Mujahidun fi Islam min qarni al-Awwal ila rabi; al-‘ayar, dar al-Hamami, Kaherah,

Vatikoistic, P.j. 1980, The history of Egypt from Muhammad Ali to Sadat, Ed.2 London,

Muhammad ‘imarah, 1986, al-‘mal al-Kamilah lil Imam al-Syeikh Muhammad Abduh, Kaherah.

Saliha Hj. Hasan, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Biografi tokoh pilihan Malaysia, Univeriti Malaya, Kuala Lumpur, 1997,

Nabir bin Haji Abdullah, Maahad II Ihya’ al-Syarif Gunung Semanggol 1934-1959, Jabatan Sejarah, UKM, Kuala Lumpur,

Hamka 1963, Ajahku, Jajamurni, Jakarta, cet.Ke-3,

Abu Bakar Hamzah 1981, Al-Imam its role in Malay society 1906-1908. Kuala Lumpur, Media Cendikiawan Sdn. Bhd.

Ahmad Azam, Merdeka dengan perlembagaan, Pustaka Semenanjung, Penang, 1955, hlm. 26-27.

Nabir bin Haji Abdullah, Ustaz Abu Bakar al-bakair dalam kenangan. Malaysia in History 14 (2) : 23-36.

Ibnu Hasyim,1993 1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan PAS kuasai Malaysia?. Kuala Lumpur. GG Edar.

SUMBER DARI : www.imamazhari.blogspot.com

Assalamualaikum wrt. wbt.

TAZKIRAH RAMADHAN

Tinggal beberapa detik lagi, bulan Syaaban akan melabuhkan tirainya sebelum di sambung oleh bulan Ramadhan yang mulia, penuh keberkatan dan kerahmatan dari Allah S.W.T. Pencipta Sekalian Alam.Sebelum melangkah masuk ke bulan ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah agar segala kebaikan, kasih sayang dan pengampunan yang di kurniakan oleh Allah kepada Ramadhan dapat kita nikmati dan kecapi dengan sebaik-baiknya.
Ustaz Zaharuddin Ab. Rahman (Mantan Presiden GAMIS)

Koleksi Ceramah Saya & Displin
Mendengar Ceramah



Assalamualaikum,

Saya ada mengikuti beberapa siri ceramah ustaz di youtube dan juga web ini. Saya berminat untuk mendengar seberapa banyak ceramah ustaz, jadi bolehkah ustaz berikan info dimana saya boleh dapatkan ceramah penuh ustaz dan apa jua medium untuk saya menuntut ilmu dengan cara tidak rasmi ini dari ustaz.

Saya amat berminat mendengar ceramah ustaz. Saya juga minta ustaz dapat jelaskan beberapa displin menerima ilmu melalui ceramah. Terima kasih

-Pemuda Islam-


Jawapan

Wa'alaikumussalam,

Terima kasih atas minat sdr dan niat sdr yang sebegitu baik. Saya ingin menasihati saudara agar mengambil ilmu dari pelbagai sumber dan penceramah. Namun sdr perlu melihat latarbelakang penceramah tersebut dan jangan hanya terikut-ikut dengan populariti seseorang.

Terdapat ramai penceramah dan ilmuan yang tidak popular di sisi masyarakat namun mampu memberikan ilmu yang amat mantap dan baik kepada pendengarnya.

Terdapat juga penceramah yang tidak begitu mahir dalam menyusun ayat-ayat atau menyelitkan lawak-lawak jenaka, namun isi kuliahnya adalah amat cemerlang.

Justeru, pelbagaikanlah dan janganlah terhenti hanya kepada penceramah satu aliran. Nilailah setiap ceramah dari mereka yang pakar dengan adil. Buangkan isi-isi hodoh yang diungkapkannya, campakkan sikap memaki dan merendah jika ada tersilt dalam ceramah mereka. Cukuplah manfaatkan yang baik darinya. Lihatlah kepada positifnya berbanding yang negatifnya. Janganlah merasa pelik dengan sikap sebahagian penceramah yang kelihatan bukan dari akhlak Islam, ini adalah kerana mereka juga manusia biasa yang punyai kelemahan dan dosa. Manfaatkan yang positif, buangkan yang buruk.

Firman Allah SWT :-

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

Ertinya : yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal ( Az-Zumar : 18)

Adapun soalan sdr berkaitan beberapa displin menerima kandungan ceramah :-

1) Semak latar belakang penceramah dan kenali bidang apakah kepakaran beliau. Imam Malik Bin Anas berkata :

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون

Ertinya : " Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu " ( Siyar A'lam An-Nubala, 5/343)

2) Dapatkan komen dari ilmuan lain yang tidak ‘memusuhi' penceramah yang anda ingin dengarinya. Ia penting untuk mendapatkan gambaran akan siapakah ia dan sejauh manakah info yang disampaikannya boleh diterima pakai.

3) Mendengar dengan faham penerangan sehingga habis dan tidak memotong separuh-separuh kerana ia mungkin sahaja akan menyebabkan perkataan penceramah difahami di luar konteksnya. Petikan-petikan di youtube biasanya kurang dari 10 minit, justeru kemungkinan ia di luar konteks adalah wujud dan pelru berhati-hati mengambilnya.

4) Jangan ambil serius sebarang cercaan yang dilontarkan oleh penceramah kepada mana-mana tokoh dan individu lain. Kebanyakkannya dilontarkan secara tidak adil dan salah faham semata-mata.

5) Mendengar satu ceramah dari mula sehingga habis dalam satu masa. Jika anda mendengar sekerat dan sekerat, ia menjauhkan anda dari mendapat kefahaman bermanfaat dari ceramah tersebut.

6) Sebaiknya, dapatkan penceramah yang mampu mengutarakan isi yang disertai dengan ayat dan hadis secara nasnya. Ia adalah sebaik-baiknya kerana ia akan mendekatkan anda dengan sumber asas. Namun, mempunyai nas tidak semestinya intrepertasinya dan penggunaannya adalah betul dan tepat. Tidak dinafikan terdapat penceramah yang tidak membaca sebarang nas, tetapi semua kandungannya bertepatan dengan al-quran dan hadis. Kesimpulannya, kebijaksanaan anda dalam memilih adalah amat perlu dalam hal ini.

7) Setelah mendapat seusatu ilmu atau kesimpulan dari sesuatu ceramah, janganlah terlalu taksub atau ikut sehingga mengunci fikiran dan minda dari sebarang pandangan ilmuan lain yang berbeza.

8) Sampaikan ilmu yang diperolehi dengan amanah dan tidak mengubah suainya sesuka hati serta menisbahkannya kepada penceramah asal. Ia dengan mudah boleh mengakibatkan salah faham dan kesan buruk kepada penceramah asal. Banyak terjadi, sesuatu dakwaan dinisbahkan kepadanya sedangkan ia adalah hasil ubahsuai pendengar atau anak muridnya.

Saya merasakan itulah sahaja yang sempat untuk saya kongsikan bagi menjawab soalan ini. Semoga ada manfaatnya.

Sumber dari : www.zaharuddin.net
Ramadhan Yang Merdeka

sumber dari : www.iluvislam.com
dihantar oleh: naurah_haqqul


'Allahumma baariklana fi rajaba, wa sya'abana, wa balighna fi Ramadhan'

Alhamdulillah, setinggi -tinggi kesyukuran mari sama-sama kita rafa'kan kepada Sang Pencipta yang sehingga kini masih lagi membuka ruang dan peluang buat kita meniti saat-saat akhir sebelum menjejakkan kaki ke Ramadhan yang Mulia. Ucapan terima kasih sekali lagi kita sembahkan pada Pemilik Agung Alam Semesta yang Maha Kasih pada hamba-hambanya, sehingga saat ini kita dilimpahi dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga.

Ramadhan vs Merdeka

Balai cerap seluruh negara akan menjalankan tugas masing-masing bagi menentukan tarikh 1 Ramadhan 1429 H yang dijangka jatuh pada 1 September 2008, Isnin depan. Namun persoalan yang ingin dilontarkan untuk percambahan minda bersama, sejauh mana persiapan ke arah memasuki bulan yang mulia ini telah kita persiapkan pada diri kita. Para sahabat didikan Nabi Muhammad s. a. w. yang tidak lekang dari bibir mereka kalimah zikir pada Allah, tidak melepaskan peluang 6 bulan sebelum Ramadhan dijadikan waktu untuk mensucikan diri dan membersihkan hati dari segala kotoran duniawi sebelum menyambut kehadiran bulan yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Mungkin itu persoalan biasa yang dilemparkan kepada kita selaku insan awam yang kerap leka dan lalai untuk mengabdikan diri padaNya. Masalah kedua pula yang timbul adalah kehadiran Ramadhan kali ini bakal disambut secara besar-besaran oleh seluruh pelusuk masyarakat Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, agama dan bangsa.

Tidak salah untuk masyarakat beragama lain meraikan kedatangan Ramadhan yang suci ini, tetapi apa yang dibimbangi dan menghantui penulis sehingga kini adalah sambutan secara besar-besaran yang bakal diadakan ini bukanlah untuk Ramadhan tetapi tarikh penting dalam negara iaitu Hari Kemerdekaan.

Saya bukanlah rakyat Malaysia yang anti-nasionalisme, bukan juga mereka yang tidak berjiwa merdeka dan jauh sekali untuk dikatakan sebagai makhluk jumud, malah prinsip dan etika hidup mengajar saya untuk menghayati bagaimana untuk mendalami erti kemerdekaan yang sebenar.

Saban tahun kita saksikan masyarakat Malaysia yang mengisytiharkan diri mereka 'merdeka' menyambut Hari Kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah menodai nilai kemerdekaan yang ada pada tarikh bersejarah itu.

Malam 31 Ogos sering kali menjadi tarikh penting untuk muda mudi berpesta dan bersuka ria berlatarbelakangkan persembahan konsert daripada artis-artis yang berpakej menyimpang dari norma kehidupan sebagai seorang warganegara Malaysia yang merdeka. Penganjuran program sambutan kemerdekaan yang berwajahkan aktiviti yang tidak menghargai penat lelah pejuang-pejuang kemerdekaan sering kali mendapat kutukan dan hamburan sinis dari sesetengah pihak yang ada nilai kesedaran dalam diri mereka, namun teguran dan nasihat sebegini dijadikan bahan gelak tawa mereka bahkan ada yang melabelkan nasihat tersebut sebagai 'musuh negara'.

Terang lagi bersuluh perkara yang sama bakal kita hadapi hanya beberapa hari yang akan mendatang. Sambutan ini bukan hanya mendapat penganjuran besar-besaran diperingkat nasional, malah sehingga peringkat akar umbi termasuk kampus-kampus yang menjadi kilang pemimpin masa depan turut dididik dengan budaya merosak dan menghina nilai kemerdekaan negara.

Selingan doa selamat dan nyanyian patriotik lagu-lagu kebangsaan sudah cukup untuk mengaburi mata rakyat dalam menyatakan pemimpin-pemimpin negara kita pemimpin yang berjiwa merdeka, sedangkan terlalu banyak aktiviti yang dijalankan telah menodai kesucian sebuah kemerdekaan. Inilah dia gambaran sebenar senario politik negara yang menjual maruah negara tanpa kita sedari walhal minda dan akhlak kita sedang dijajah oleh agenda Yahudi laknatullah.

Paling menyentuh hati dan membuatkan iman meronta apabila memikirkan persoalan 'Merdeka' yang bakal diasimilasikan bersama kehangatan sambutan 'Ramadhan'. Mungkin ada dikalangan mereka yang beragama Islam seperti yang tercatat di atas kad pengenalan mereka, sedang sibuk membantu menghiasi suasana untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang jatuhnya sehari sebelum kehadiran Ramadhan.

Saya amat pasti dan yakin ada di antara mereka tidak langsung mempersiapkan diri untuk bersama-sama dgn Ramadhan, bahkan boleh dikatakan ada yang tidak sedar pun akan bahang dan kehangatannya merapati kita. Sungguh malang jadi orang Islam. Hal ini terbukti dan jelas berlaku dihadapan saya sendiri apabila seorang insan bergelar 'mahasiswa' terpinga-pinga dan membilang hari apabila saya nyatakan padanya kita akan berpuasa Isnin depan. Malang yang berganda.

Mujur masih ramai di kalangan ummat Islam di Malaysia hari ini diberi sentuhan hidayah dari Allah untuk merasai bayu Ramadhan yang bakal menjelma ini. Mengapa saya tajukkan artikel ini sebagai Ramadhan yang merdeka? Apakah ia membawa erti seperti kupasan saya sebentar tadi- proses mengasimilasikan kehadiran Ramadhan bersama Hari Kemerdekaan??

Jauh panggang dari api. Sebenarnya ada dua pengertian secara pandangan peribadi terhadap ungkapan ini. Kedua-duanya mungkin membawa makna yang berbeza tapi tujuannya tetap sama.

Yang pertama 'Ramadhan Yang Merdeka' ini, suka untuk saya ertikan sebagai suatu platform kepada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini untuk sama-sama kita merdekakan diri sendiri dari dibelenggu segala macam kekusutan duniawi sebelum kaki melangkah memasuki rumah Ramadhan yang mendatang. Kalau selama ini kita bergelumang dengan sampah maksiat, ambil peluang yang ada untuk memohon taubat dari Allah mensucikan diri dan hati. Semoga Ramadhan yang bakal kita lalui dapat kita kecapi kemanisannya dengan penuh penghayatan dalam keadaan diri yang telah disucikan.

'Ramadhan Yang Merdeka' ini juga sebenarnya membawa suatu makna tersirat yang signifikan. Pada hemat saya ia menjelaskan pada kita betapa kasihnya Allah pada hambanya dengan menyediakan satu bulan tarbiyyah sebagai medan untuk kita service kembali iman serta menjadikannya ia bekalan taqwa untuk kita tempuhi 11 bulan yang akan datang dalam keadaan diri kita merdeka dan bersih dari segala dosa dan noda. Graduan yang berjaya dengan cemerlang hasil didikan University of Ramadhan ini akan merasakan diri mereka merdeka daripada dibelenggu hasutan syaitan dan hawa nafsu yang sentiasa mencari ruang untuk melalaikan kita.

Kata Akhir

Sebagai menggulung daripada apa yang terlintas di hati untuk dibincangkan bersama ini, marilah sama-sama kita hayati erti kemerdekaan sebenar dalam fasa menyambut tetamu Shahru Ramadhan yang didalamnya memiliki seribu satu nikmat dan rahmat dari Allah bagi mereka yang tahu menilainya. Selaku umat Islam yang bertamadun dan merdeka, seharusnya kita menjuarai persoalan sikap, akhlak dan etika dalam apa jua bidang kerana kita dibekalkan manual kehidupan yang cukup agung iaitu Al-Quranul Karim, Kalamullah.

Justeru jadikan kemerdekaan kali ini sebagai platform awal untuk kita berubah dan merubah ke arah suatu yang lebih synergic untuk membangunkan ummat Islam. Apa salahnya kita jadikan solat hajat dan juga munajat kepada Allah sebagai hiburan kita sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara kita dan juga ketibaan Ramadhan. Semoga usaha kita mencegah diri kita dan saudara muslim kita yang lain dari melakukan kemaksiatan kepada Allah diawal-awal Ramadhan ini bakal mendapat ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.

Nukilan asal oleh:
Mohd Amin bin Mohd Hamami
Sarjana Kejuruteraan Mekanikal
Universiti Teknologi Malaysia
http://amin-hamami.blogspot.com/
Kenapa ana nak ke pondok Pasir Tumboh

“Kenapa ana nak ke pondok Pasir Tumboh” Di antara bicara salah seorang insan yang telah dibeli akan hatinya oleh Allah ta’ala
Sanggup Jual dunia adalah sifat orang mukmin seperti firman Allah yang bermaksud Sesungguhnya Allah telah membeli hati-hati orang mukmin, diri mereka dan harta mereka bahawasanya mereka dijanjikan balasan syurga, mereka berjuang(berperang) di jalan Allah.

Kenapa pondok? Ya, ana tahu ramai yang mempersoalkan tindakan ana. Pertama sekali, ana minta kita berfikiran lebih terbuka dalam menilai sesuatu perkara dan jauhilah berprasangka buruk kerana ia adalah sebahagian daripada dosa. Dan ana mengambil peluang ini untuk menjelaskan akan keadaan dan situasi ana yang sebenar. Agar kita sama-sama merenung kekhilafan diri dan cuba berfikir mencari jalan keluar dengan jalan yang diredhai Allah.

Agar sedikit coretan tentang kisah ana boleh menggerakkan mereka yang tidur lena di luar sana atau yang mungkin sibuk mengejar urusan yang tidak pernah tamat. Dan ana mendoakan agar ‘urusan yang tidak pernah tamat’ itu dipaksikan atas tujuan Allah semata-mata dan mendapat nilai di akhirat nanti. InsyaAllah.


Ana adalah pelajar yang mengambil ijazah dari sebuah IPTA di Malaysia, dalam bidang sains dan mempunyai harapan yang sangat cerah dalam bidang pekerjaan.Untuk pengetahuan agar lebih jelas ana menangguhkan pengajian di university secara halal dengan surat yang sah dan bukan keluar dari university begitu sahaja.


Sesungguhnya tindakan ana boleh dikategorikan sebagai bodoh kerana ana sudah berada ditahun dua dan pengajian ijazah ana akan tamat setahun sahaja lagi. Tidak lama pun jika difikirkan. Pejam celik pejam celik masa sudah berinjak setahun.Sesuailah dengan hadith akhir zaman yang mengatakan antara tanda-tanda kiamat adalah masa bergerak terlalu pantas.

Tindakan ana yang menangguhkan pengajian di university mencetuskan persoalan banyak pihak dan tidak kurang juga dengan penentangan yang ana terima.Mungkin ada yang terdetik kenapa tidak jumpa kaunselor sekiranya ada masalah atau minta pendapat orang yang lebih dewasa? Ataupun jumpa ustaz ke?

Tidak kasihankah pada mak ayah yang bersusah payah hantar belajar bermula dari sekolah tadika, sekolah rendah,sekolah menengah kemudian ke kolej matrikulasi dan seterusnya ke university? Atau ada yang beranggapan mungkin ana adalah anak orang kaya dan tidak pernah merasai susah peritnya mencari nafkah sesuap nasi.

Ana berfikir tentang semua itu sebelum membuat keputusan. Ana menghargai atas komen dan pendapat yang disiarkan mengenai tindakan ana keluar university atas alasan hendak belajar agama di pondok. Ana setuju bila ada yang mengatakan ilmu agama dicari tidak semestinya di pondok malah boleh dimana-mana sahaja.


Dan juga ada pandangan yang agak kurang enak mengatakan tidak semestinya budak pondok tu baik dan tidak semestinya budak pondok masuk syurga.Dan persoalan yang utama.Kenapa mesti memilih pondok? Ana mencari tarbiyah dan pokok utama dalam tarbiyah adalah bi’ah atau maksud lain adalah suasana. Bi’ah yang boleh membantu mensucikan diri,mengembalikan kita kepada hakikat hidup yang sebenar dan meletak kita di tahap sedar akan peranan kita sebagai hamba Allah atas muka bumi.

Sebagai hamba yang berfikir apa jalan terbaik untuk mengabdikan diri di jalanNya dan sejauh mana kita berusaha mencapai ke arah itu. Ana sangat mencari tarbiyah yang mementingkan kepada penyucian jiwa, pembersihan hati dari karat-karat mazmumah yang terbina dalam diri sejak kecil tanpa kita sedari. Dan biah itu wujud pada system pengajian pondok walaupun tidak sesempurna seperti zaman Rasulullah.


Tetapi usaha untuk membina bi’ah itu adalah lebih mulia berbanding mereka yang hanya bijak berteori semata.Ana keliru bagaimana ana hendak membina akidah yang telus, keyakinan yang jitu berpaksikan Iman dan Takwa di tempat yang tidak mengamalkan biah seperti di zaman Rasulullah.

Bagaimana iman boleh terbina di suasana yang bercampur lelaki dan perempuan tanpa batasan, maksiat terlalu berleluasa, urusan solat diremehkan, urusan aurat dipandang tepi, surau dan masjid kosong, sejadah dan telekung hanya hiasan, masa dihabiskan dengan berborak hal-hal yang jauh dari Islam, membuat program hiburan seperti barat, menyanyi dan menari lelaki perempuan, dan yang paling teruk berzina adalah perkara biasa.


Sedangkan zaman Rasululullah dan para sahabat cukup menjaga biah apatah lagi kita sebagai umat akhir zaman yang membaca Al-Fatihah pun belum tentu betul tajwidnya. Ana pernah menjalankan survey kepada budak university dan ramai yang tidak tahu apa itu dua kalimah syahadah. Ana belum lagi masuk kisah judi, arak, pondan, gay, dan bohsia dan yang paling menakutkan adalah kristianisasi yang sedang bergerak dengan dasyatnya.

Adakah kita prihatin dan peduli? Cuba cari buku tentang kegiatan kristianisasi dan jika anda sayang pada umat Islam dan bangsa kita tentu anda tidak senang duduk. Akidah umat Islam runtuh, akhlak hangus dan Islam hanya sekadar pada nama. Dan ada yang sampai malu untuk mengaku dia adalah seorang Islam. Perkara ini menimpa semua orang termasuk anak ustaz, anak ustazah, pelajar sekolah agama, anak orang kaya, anak orang miskin, anak pensyarah, anak doctor, anak datuk..Semua ada. Ana sedang menuntut ilmu dan ana sangsi dengan diri ana. Bagaimana ilmu boleh masuk ke dalam hati yang kotor? Ilmu adalah cahaya hidayah.


Ilmu menjadi wadah dan jambatan untuk kita mengenal Allah, memahami kewujudan Allah, mencetuskan daya berfikir atas usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan amal dan yang penting dengan ilmu kita ingin mengubah masyarakat. Untuk membawa masyarakat agar sama-sama berukhwah untuk menegakkan daulah Islamiah. Target dan tujuannya adalah Allah.

Memang suasana akhir zaman sudah ditegaskan oleh Rasulullah ciri-cirinya dan kita sedang menempuhinya, tetapi adakah kita hanya perlu menyerah tanpa berusaha?. Samada target tercapai atau tidak itu adalah urusan Allah. Dia Maha Mengetahui dan Maha Menentukan. Ana selalu berfikir, diantara menjaga kesucian, harga diri dan izzah seorang perempuan muslimah dan keperluan hidup yang semakin mencengkam.

Antara melindungi keperibadian diri dan memelihara diri dari fitnah syaitan atau kehendak keluarga,masyarakat dan orang sekeliling. Apabila diri sudah mengenali tarbiyah, tiada lain yang lebih indah melainkan hidup atas landasan Islam yang sebenar. Bukan ijazah,bukan master atau phd yang diburu tetapi yang penting adalah keberkatan dan keredhaan.


Biar ilmu yang ditimpa sedikit tapi dengan ilmu yang sedikit itulah yang menjadi pegangan kerana tiada manusia yang mempunyai kesempurnaan ilmu. Ana bukan seorang penghafal al-Quran, bukan ahli kaji hadis, bukan ahli jihad, tidak pernah bersekolah agama,…tetapi ana orang islam. Dan ana juga perempuan yang bersifat lemah yang dianugerahi hanya 1 akal..perempuan dimana nabi Muhammad mengatakan boleh menjadi fitnah kepada kaum lelaki.

Mungkin ada yang memberi sarana pada ana agar tinggal bersama keluarga sambil menyambung pengajian. Ana ada berfikir tentang ini tetapi kondisi keluarga ana adalah sangat tidak dapat membantu. Kenapa begitu? Ana adalah gadis biasa, membesar di kampung dengan dikawal ketat pergaulannya.


Sejak umur 9 tahun tudung tidak pernah ditanggalkan dari kepala. Nak berkawan dengan lelaki tidak berani sebab ayah ana pernah mengugut sekiranya nampak ana bersama dengan budak lelaki ketika ke bandar dia akan menampar ana di situ juga. Walaupun ana patuh, ayah ana tetap menfitnah ana keluar dengan budak lelaki. Ana selau menangis dan mengadu pada mak ana bahawa ana tidak sesekali buat macam itu.

Ana akan selalu memperkenalkan kawan ana pada ibu bapa ana agar mereka tahu apa ana buat dan ana pohon kepercayaan dan restu mereka atas persahabatan ana. Ana banyak menghabiskan masa di rumah dengan menumpukan perhatian pada pelajaran dan kurang bersosial. Sehingga umur ana 18 tahun, ana masih belum kenal jenis-jenis rokok dan tidak pernah tahu jenis dadah pun termasuk heroin.


Ana pernah ditegur sebab ana terlalu kuno tentang dunia luar dan ana diingatkan bahawa adalah penting untuk ana tahu itu semua. Ana masih ingat ketika di university, ana ada mendengar tazkirah dari seorang senior dan dia ada menyebut perkataan ‘Toto Sports’. Ana terus bertanya pada rakan disebelah apa maksudnya ‘ Toto Sports’. Senior yang sedang memberi tazkirah mendengar soalan ana itu terhenti percakapannya dan menerangkan bahawa ia adalah nama kedai judi.

Alhamdulillah, didikan keras ayah ana banyak membantu ana untuk tegar terutama dalam hal mempertahankan aurat walaupun banyak yang memujuk ana kearah kejahilan. Ketika kecil ana hanya tahu ana kena tutup aurat sebab ana orang Islam dan ayah suruh. Ana tidak tahu sama sekali bahawa perintah dan tatacara menutup aurat wujud dalam Al-Quran. Sungguh ana tidak tahu. Ayah ana sangat menekankan kami adik beradik untuk tidak meninggalkan solat walaupun ana sangat malas untuk melakukannya.


Ana tidak faham kepentingan solat. Lagipun, ana tidak pernah merasakan kebersamaan Allah bersama ana apabila ana ditimpa masalah. Ana sebagai anak sulung berhadapan dengan konflik keluarga yang kronik. Puncanya adalah duit. Masalah tidak cukup kewangan adalah normal tetapi adakah mengamuk, maki hamun, melepaskan geram pada anak-anak, mengungkit soal kesusahan adalah tindakan normal? Ibu bapa mengharapkan anak-anak menjadi sempurna, rajin solat, pandai dalam pelajaran, menghormati kedua orang tua dan berakhlak mulia.

Tetapi adakah didikan yang diberi oleh ibu bapa setara dengan hasil yang diingininya? Ana tidak sesekali mempersoalkan kasih sayang dan jerit payah ibu bapa dalam mendidik anak-anak tetapi gunakanlah cara yang sepatutnya.

Adalah kurang sesuai menyalahkan anak-anak atas tindakan mereka yang suka memberontak dan keluar dari rumah. Ana juga sebagai anak-anak memerlukan ketenangan dalam membesar apatah lagi dalam membina personality diri.Ana adalah anak remaja dan ibu bapa adalah orang dewasa yang lebih banyak makan garam dan lebih berfikiran waras dalam membuat keputusan.

Dunia sekarang seakan terbalik apabila kita melihat perangai orang dewasa yang seperti
kebudak-budakan dan menuntut anak-anak memahami kedudukan mereka. Ini adalah hakikat dan ana sering mengalaminya. Ana membesar dalam suasana emosi tidak stabil. Ibu ana yang dulunya tabah, lembut dan sudi berkongsi cerita dengan anak-anak berubah. Ana dimarah kembali sekiranya ana mengadu hal ana dan kadang-kadang dimarah tanpa sebab. Kejadian seperti ini bukan sekali dua tetapi tiap-tiap hari.

Jika dulu ana banyak memberontak dan melawan. Sekarang ana sering memperingatkan diri bahawa tindakan ana adalah salah dan berdosa. Ana hanya berdiam diri, berkurung dalam bilik dan menangis sorang-sorang. Tiada siapa pun nampak tangisan ana sebab ana pandai berpura-pura.


Hanya adik bongsu ana yang berumur 10 tahun selalu datang ke bilik ana dan memandang wajah ana dengan simpati dan seakan ada genang di matanya. Ana selalu mengadu pada adik ana akan nasib malang ana tetapi dia membalas kembali bahawa ana adalah yang paling beruntung. Ana tersenyum. Perasaan ana pulih sedikit. Adik lelaki ana berhenti sekolah ketika umurnya 15 tahun, Dan dia selalu keluar rumah dan tinggal bersama seorang peniaga yang hidupnya berniaga dan suka berjudi.

Malah dia mempunyai anak lelaki yang telah berzina sehingga membuatkan gadis itu mengandung.Mana mungkin ibu bapa ana tidak bimbang. Adik ana berkelakuan seperti itu kerana dia tidak mendapat perhatian dan kasih sayang ibu ana. Ibu ana sibuk bekerja mencari wang untuk hidup dan menyekolahkan kami adik beradik.


Ana mengagumi ketabahan serta kesabaran ibu ana berjuang untuk hidup lantaran sikap ayah ana yang kurang memahami erti tanggungjawabnya dalam keluarga. Kerja tidak pernah tetap, dan selalu naik angin jika di rumah.Dan terkadang ibu ana seakan menyesal dengan perkahwinannya di usia muda(19 tahun). Dia selalu mengingatkan pada ana agar tidak menikah awal kerana bimbang nasib berulang.

Saudara mara pun sudah penat mendengar aduan ibu ana. Ibu ana hanya meminta saudara mara untuk menasihatinya. Ayah ana pula dikawal dengan egonya yang terlau tinggi dan tidak boleh mengawal kesabaran ketika berbincang. Apabila ibu ana selalu mengadu pada ana tentang sikap ayah ana, perasaan ana bertukar menjadi benci dan dendam. Hidup ana adalah seperti tidak ber ‘ayah’ sehingga ramai yang menyangka ana adalah anak yatim.


Ana semakin yakin ketidakbahagiaan keluarga kami adalah disebabkan wang. Kerana kami miskin. Bila ana mula mengenali apa itu tarbiyah, barulah ana sedar bahawa ana salah sama sekali. Ana mula berfikir sebab sebenar yang menjerumuskan keluarga ana ke arah kebinasaan. Jiwa ana yang selama ini tidak mempercayai erti kewujudan kasih sayang berubah untuk optimis dalam hidup.

Ana tidak sesekali menyalahkan ayah ana lantaran kegagalannya mengemudi institusi rumahtangga. Juga tidak pada ibu ana yang meletak kebahagiaan pada wang. Ana meletakkan dasar empati pada diri ana. Membayangkan diri di tempat mereka. Memahami apa yang membuat mereka jadi sebegitu.


Ayah ana selalu dipukul sejak kecil, dimarah, hidup merempat dan kurang dipedulikan keluarga. Opah ana banyak kali berkahwin dan berpindah randah. Urusan pendidikan ayah ana terbengkalai. Sekolah hanya setakat darjah 5. Makan hanya menumpang di rumah saudara mara. Kadang dia berdendam pada ayah tiri yang banyak menyeksanya. Ibu ana pula kehilangan ayah ketika kecil. Hidup bersama ibunya dan dua orang abang. Ibu ana yang lembut banyak ditindas, harta sepeninggalan diguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Urusan pernikahannya dengan ayah ana juga diurus oleh orang lain. Nenek ana sebelah ibu pernah bercerita bahawa dia tidak tahu menahu tentang urusan jodoh mak ana. Sedar-sedar ada orang masuk minang.

Impian mak ana untuk sambung belajar terbantut dan dia memasang harapan agar mendapat suami yang baik, anak yang menyenangkan hati dan hidup yang sejahtera.Ayah dan ibu ana juga adalah mangsa kekhilafan dalam memahami erti kehidupan. Bila rujukan dan panduan yang sepatutnya ditolak tepi. Agama digunakan sebagai jalan terakhir. Lalu, takkan harus dibiarkan sebegini? Adakah ana perlu bersabar tanpa bertindak? Hanya doa tanpa usaha. Mungkin bukan untuk kita tetapi untuk generasi seterusnya.


Bagi kaum Hawa, mereka adalah bakal isteri dan bakal ibu. Begitu juga kaum Adam yang merupakan bakal suami dan bakal ayah. Allah Maha Berkuasa kerana telah menyelamatkan ana dari terjerumus ke lembah hina.

Ana juga banyak berbuat kesilapan dalam hidup.Pernah membenci pernikahan, membenci lelaki dan cemburu pada kebahagiaan orang lain. Hidup dengan bersangka buruk. Hati menjadi kotor. Lalu, ana ingin membaiki diri. Dan ana memilih pondok. Sebagai usaha ana membuang kejahilan diri. Disamping kos hidup yang murah, para pengajar mengajar tanpa imbuhan. Suasananya tenang, dihiasi dengan zikrullah, mengingatkan diri akan status hamba dan yang penting adalah penyucian akidah.


Pondok sajalah sarana dan kebahagiaan dan ketenangan yang dicari bertitik tolak dari hati kita. Semua itu adalah Rahmat dari Allah jua.Mengapa mesti tunggu kita dilabel sebagai budak bermasalah oleh masyarakat baru hendak ke pondok? Ana tahu di luar sana ramai lagi mahasiswa dan mahasiswi di university telah bermujahadah melawan nafsu dan kebatilan.

Menjalankan program agama, menegakkan tarbiyah dan cuba menarik para sahabat yang semakin jauh dari sinar Ilahi. Ana mengagumi mereka semua yang tegar iman. Ana tidak mempunyai kekuatan sebegitu.


Jiwa ana memerlukan rawatan yang dalam dan penjagaan keseluruhan. Agar dosa yang ana buat selepas ini membawa ana mengenali erti taubat yang sebenar. Yang penting, ana mencintai dan menyayangi insan yang banyak membantu ana. Terutama ibuku,ibuku dan ibuku. Kerana ana sayang padanya dengan segenap jiwa raga ana. Sayang pada ayah ana, sayang pada adik beradik ana dan ana sayang pada nenek ana.

Begitu juga saudara mara yang selalu melihat titisan air mata ana, sahabat yang setia dalam suka dan duka atau siapa sahaja yang berhati mulia. Yang pasti kecintaan ana pada kalian semua akan menghampirkan diri ana kepada Allah. Dan ana sangat tertarik pada kata-kata ini yang dipetik dari kitab Tanhibul Al Ghaflin.

‘ Allah telah memuliakan umat ini dengan lima kemuliaan:

1. Allah menjadikan mereka lemah supaya tidak sombong.
2. Mereka dijadikan kecil-kecil supaya tidak memberatkan belanja, makan, minum dan pekerjaan.
3. Menjadikan usia mereka pendek supaya kurang dosa mereka.
4. Menjadikan mereka faqir/ miskin supaya meringankan hisab mereka di akhirat.
5. Menjadikan mereka umat terakhir supaya tidak tinggal lama di dalam kubur.


Selasa, 8:25 malam, 8 January 2008, 30 Zulhijjah 1428 Hijrah.

sumber dari : halimislamic.blogspot.com
Persoalan muslimat pondok pasir tumboh

Email yang ana terima:

assalamualaikum saudara Halim. Ana ni bekas pelajar muslimat pasir tumbuh. Ana ada sorang kawan yg nak belajar disana, tetapi ditentang keras oleh keluarganya. Mereka suruh dia habiskan pengajiannya di universiti dulu.. apa pendapat anta tentang kawan ana ni, bagilah sedikit cadangan. Ana pun tak tau nak ckp apa kat kawan ana tu, harap anta blh bg pendapat..

Penjelasan:

Tentang kawan anda yang disuruh keluarganya untuk meneruskan pengajian universiti, ana rasa tak perlulah diendahkan tentangan ibu bapanya itu, kerana sabda Nabi s.a.w bermaksud “Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara yang mendatangkan maksiat kepada Allah Taala". Yakni jika ibu bapa menghalang supaya kita belajar agama maka harus kita abaikan larangannya.

Ini kerana menuntut ilmu fardhu ain (ilmu agama) adalah wajib ke atas setiap individu muslim. Oleh itu, tidak dikatakan seorang anak yang derhaka terhadap ibu bapanya jika dia membantah daripada meneruskan pengajian di universiti..

Kebanyakan ibu bapa di akhir zaman ini, disebabkan tidak memahami perkara agama, mereka bertindak di luar batasan syariat agama. Yang sebenarnya dalam syariat tidak wajib bagi ibu bapa untuk menanggung perbelanjaan anak-anaknya yang belajar selain daripada ilmu agama. Tetapi ia sangat menjadi kewajipan bagi ibu bapa bagi menanggung perbelanjaan anak-anak mereka yang menuntut ilmu agama tersebut.

Kita lihat pada hari ini satu kepincangan suasana IPT yang amat teruk. Dengan keadaan pelajar-pelajar yang tidak terkawal pergaulannya. Terus membawa kepada korosakan akidah. Terlalu ramai sangat pelajar universiti yang rosak akidah.

Sekarang ini sudah tiada pembawakan suasana suci yang memandu pelajar-pelajar universiti ke arah keredhaan sehingga jauh dari matlamat asalnya menjadikan alam IPT sebagai alam pungutan mutiara ilmu.

Kehidupan kampus terlalu banyak menganjurkan program-program hiburan, jika nak dibandingkan dengan program yang berkaitan dengan wacana ilmu atau diskusi-diskusi ilmiah tidaklah seberapa. Jadi dimanakah kualiti ilmu dan matlamat hidup mereka?

Memanglah nampak jumud bila melihat anak-anak mereka menuntut ilmu agama di pondok. Tak ada masa depan, nak kerja apa? Nak makan apa? Nak kahwin macam mana? Nak tanggung anak bini macam mana? Itu semua adalah perkataan yang merupakan bisikan negetif yang menyimpang dari kehendak agama. Tidak yakinkah kita dengan Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud “Penuntut ilmu agama itu dijamin oleh Allah taala tentang rezekinya”.

Cuba tunjukkan pada ana adakah orang yang menuntut ilmu agama itu terpaksa makan pasir? Adakah yang terpaksa makan batu? Dalam islam sudah sedia maklum bahawa sesiapa yang memiliki pengetahuan agama itu, kedudukan darjatnya adalah mengatasi segala kedudukan orang yang mempunyai ilmu lain di dunia ini.

Seperti sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “sesiapa yang dikehendaki oleh Allah dengan segala kebaikan yang sempurna nescaya Allah akan memberi kefahaman kepadanya tentang ilmu agama, dan sabdanya lagi. “sesungguhnya ulamak itu pewaris keilmuan para Nabi.

Apa pun diharap kawan anda tempuhilah dengan penuh kesabaran, masyarakat tidak akan pandang kita selagi mana kita tidak menjadi seorang pembimbing kepada mereka. Jika diperhatikan pelajar-pelajar pondok yang lain, ramai di antara mereka yang menghadapi masaalah yang sama. Adapun mereka seorang guru, pensyarah, pelajar dari UK, Jordan, Yaman, Syria dan Ahli perniagaan yang sangat hebat bertaraf jutawan pun ada belajar di pondok.

Walaupun begitu dalam keadaan ditentang keras oleh keluarga dan dipandang hina oleh masyarakat sekeliling. Tapi mereka menolak mudah kemewahan dunia dengan alasan hidayat Allah untuk menuntut ilmu agama mengatasi segala-galanya.

Ana sendiri pun mengalami nasib yang sama setelah berhenti kerja dahulu, dipandang bodoh oleh adik beradik ana sendiri. Untuk apakah belajar tinggi-tinggi dahulu jika tidak bekerja, dan apakah manfaat belajar di pondok? Ini semua adalah kata-kata tidak berakal yang turut melemahkan semangat untuk kita meneruskan niat yang murni.

Tatapi sekarang Alhamdulillah! Apabila mereka mula yakin dan nampak dengan kebolehan mengajar al-Quran, kitab-kitab dan rukun-rukun sembahyang pada orang lain. Mereka mula sedar dan yakin.

Bukan sekadar itu. Masyarakat sekeliling juga sentiasa akan mencari kita untuk sembahyang hajat, sembahyang mayat dan bacaan doa kepada anak-anak kecil mereka yang akan mengahdapi peperiksaan. Begitu juga dengan permasaalahan agama, kita akan jadi sumber rujukan utama oleh orang-orang kampung dan masyarakat sekeliling.

Yakinlah apabila kita sudah sampai tahap menjadi tumpuan orang kampung maka kembalilah dengan janji Allah akan jaminan rezekiNya kepada orang yang menuntut ilmu agama. Nikmatilah rezeki Allah taala yang akan turun seperti air hujan jatuh kebumi.

Apa gunaya kita punyai duit yang banyak, rumah besar dan kereta besar. Siang malam bekerja mencari rezeki, tapi tiada ketenangan dalam hidup. Jadi fikirlah secara waras, gunakan akal yang dikurniai oleh Allah itu sebaiknya.

Jadi ana menasihati kawan anda supaya bertekad hati meneruskan niatnya untuk belajar agama di pondok. Jika kawan anti memerlukan bantuan dari segi moral dan kewangan bolehlah bagi tahu kepada ana dan ustaz-ustaz di pondok. Insya Allah kami akan usahakan sedaya mampu untuk membantu.

sumber dari : halimislamic.blogspot.com
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template